Monday, April 7, 2014

Udang goreng butter terbaik


Assalamualaikum..
Belum sempat habis update cerita hari ketiga di Bali, saya nak update mengenai resepi udang goreng butter ni dulu. Udang ni spesial sebab kami pancing sendiri di kolam udang galah dekat Kampung Kemensah 2 minggu lepas. Sebenarnya 2 jam memancing pakai 2 joran cuma dapat 6 ekor udang galah je. Rezeki hari tu, abang yang jaga kolam tu masa kami beransur pulang ajak kami ke kolam belakang dan diberikan lagi beberapa ekor udang. Semoga murah rezeki lah abang tu. Kami puas hati!

Berbalik pada resepi. Jom tengok resepi ni yang saya ambil dari sis Azlita Masam Manis. Entri butter prawn di sini.


Sarang Telur

2 biji kuning telur \\saya pakai sebiji je sebab first time ni nak test dulu. :-)
1 senduk butter/margerin
1 cawan minyak masak

Pukul ringan kuning telur.
Panaskan butter/margerin bersama minyak masak. Sebaiknya gunakan senduk bulat. Bila minyak dalam kuali sudah betul betul panas, pusing pusingkan minyak dengan senduk tu laju laju membentuk bulatan sehala tanpa henti.
Kemudian tuangkan kuning telur tadi, tuang tinggi sikit supaya telur jatuh ke dalam kuali tu halus je. Teruskan pusing minyak tu laju laju dan tuang hingga habis. Pusing terus senduk tu sehingga telur tu masak berwarna keemasan.

Setelah masak tuangkan ke dalam tapis seperti tapis santan besi untuk toskan minyaknya. Langkah seterusnya kita siapkan pula udangnya.

Udang

12 ekor udang
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk menggoreng
3 ulas bawang putih - dicincang
6-8 tangkai cili padi - dihiris
5 tangkai daun kari
1/4 cawan susu cair/susu segar
Sedikit butter/margerin untuk menumis
Sedikit serbuk lada hitam/putih - jika suka
Garam secukup rasa
Mula mula goreng dulu udang yang digaul dengan sedikit garam dan lada sulah sehingga agak berubah warna dan masak. Jangan goreng terlalu lama sangat nanti udang akan mengecut, tak cantik dan agak keras bila dimakan. Angkat dan toskan minyaknya. Keluarkan minyak tu dari kuali, tak nak guna lagi.

Panaskan butter/margerin di dalam kuali dan tumis bawang putih, cili padi dan daun kari hingga garing dan naik bau.

Kemudian masukkan susu cair dan masak sebentar. Masukkan udang yang digoreng tadi, sedikit serbuk lada hitam/putih dan garam secukup rasa. Jangan bubuh banyak sangat garam yer sebab butter atau margarine sudah ada garam.
Setelah semua bahan masak dan mesra, bolehlah dimasukkan ke dalam pinggan hidangan dan taburkan sarang telur/floss yang kita buat tadi.

Selamat mencuba!

Wednesday, April 2, 2014

Hari kedua di Bali: Kintamani Tour

Assalamualaikum.

Sambung cerita hari kedua di Bali. Kalau rajin nak baca entri yang terdahulu di sini dan sini ya.

Jadual Perjalanan Hari Kedua
27/2 Kintamani Tour (bermula 8.30pagi)
- Barong Dance
- Celuk (Gold & Silver)
- Painting
- Ubud
- Tegalalang (Padi Bukit)
- Volcano (Lunch time)
- Coffee Plantation
- Tampak Siring (Hollywater) -- tak pergi

Semasa kami bersarapan, Pak Ade sudah siap menunggu. Mesti isi perut dulu kerana aktiviti seterusnya memakan masa sehingga ke lewat petang.


Barong Dance
Tempat pertama yang dikunjungi adalah persembahan Tarian Barong. Dijadualkan selama satu jam. Tempat terbuka dan agak panas tambahan pula jika ramai penonton. Jika ada kipas kecil sangat membantu. Jangan lupa bawa air minuman, dan juga tisu/tuala untuk mengelap peluh. Menonton persembahan ini adalah berbayar. Saya tak ingat berapa harga, yang pasti tidak murah!

Ada lima babak kesemuanya. Tarian Barong ini menceritakan pertarungan yang tiada penghujung antara semangat baik dan jahat. Barong adalah semangat/kuasa baik manakala Rangda mewakili yang jahat.


Batik & Celuk
Perhentian seterusnya adalah kedai batik. Binaannya sungguh indah dengan sarat ciri-ciri "hindu". Banyak patung-patung, ukiran sarat di mana sahaja di kawasan kedai. Kami tak beli apa-apa pun. Bergambar sahaja. Mulanya teringin membeli pakaian batik sedondon untuk dipakai esok hari. Tapi tiada yang berkenan, ada yang berkenan pula size tidak ada. Saya suka pakaian sedondon sefamili. Bila diambil gambar sedap mata memandang. :-) Tak mengapalah, sudah tiada rezeki.


Kami singgah ke tempat pembuatan perak. Banyak hasil kerjatangan daripada perak dan emas yang halus dan cantik. Rambang mata. Saya cuma membeli sepasang anting-anting. Lega rasanya dapat mengawal nafsu daripada memborong pelbagai barang. Saya penggemar gelang tangan. Harga silver bracelet yang saya suka lebih kurang 4-500 RM.

Oh ya, di sini banyak mengamalkan 'tipping'. Pemberian tip. Jadi jangan lupa sediakan duit kecil untuk mereka. Yang berbaju hijau tu menjadi 'escort' kami semasa di kedai tersebut. Dia beragama Hindu, dapat dilihat dari tanda didahi daripada beras. Mirip melayu bukan? Jadi jangan hairan jika di Bali terlihat pemuda semacam kita tetapi meminta pesan babi guling atau anak gadis comel membawa anjing bersiar-siar.

Mengikut pemerhatian kami, jika diberi tip pembantu jualan yang mengikut tadi akan menunjukkan sikap 'appreciative'. Mereka akan mengiring hingga ke kereta, buka dan tutup pintu untuk kita. Mereka juga sangat mesra dan mengucapkan kata selamat yang baik-baik sebelum beransur pergi.


Painting / Ubud/ Tegalalang

Memang ramai pelukis di sana. Galeri lukisan berderet-deret. Ada juga yang dijual ditepi jalan sahaja. Pak Ade membawa kami ke satu galeri lukisan. Di situ, kami terserempak beberapa kumpulan pelancong Malaysia yang lain. Harga boleh dirunding/tawar. Tapi jangan terkejut jika diminta 'tip' sebelum rundingan akhir untuk tetapkan harga.


Sepatutnya kami mengambil gambar kenangan dengan 3 lukisan yang dibeli. Langsung terlupa! Sampai sekarang dibalut baik belum dibuat apa-apa lagi. Entah bila baru nak dihantar ke kedai untuk dibuat bingkai.

Hujan lebat semasa melalui Ubud dan ketika tiba di Tegalalang. Kami tunggu sehingga agak reda baru keluar. Itu pun anak-anak tinggal sahaja di dalam van. Hujan masih rintik-rintik. Hijau pemandangan tanaman padi bukit di situ. Segar sekali. Tak terkira berapa kali sebut perkataan "cantik" di mulut. Ciptaan Allah itu memang indah.


Volcano
Seterusnya ke kawasan tinggi untuk melihat gunung berapi. Kami berhenti makan dulu di sebuah restoran. Cantik laluan masuk di restoran ini. Ada musolla di bahagian hadapan.


Dengan cuacu hujan, memang sedikit sejuk. Hati-hati bila berhenti di sini untuk mengambil gambar. Ramai peniaga kecil akan datang serbu untuk menjual pelbagai barang. Ada juga yang akan lebih agresif jika kita tidak mengendahkan mereka. Kasihan, hidup begitu susah agaknya dan terpaksa berlumba dengan ramai peniaga yang lain. Tak berani saya mahu membeli daripada mereka. Kerana, jika dibeli dari seorang yang lain akan berlumba datang mengerumuni kita.


Coffee Plantation
Nak pergi tengok pembuatan kopi dan teh. Yang terkenal tu kopi tupai. Ada satu teh manggis ni sedap sangat, warna ungu. Pak Ade beritahu khasiat teh ini dapat membantu kuruskan badan. Apa lagi, beli lah sebungkus nak cuba.


Perjalanan dari kawasan ubud, volcano dan coffee plantation balik ke kawasan hotel di Seminyak agak jauh. Adalah dalam 30-40km. Ubud terkenal kawasan kampung cantik dengan tanaman padi. Jalanraya tidak seperti kawasan pekan, agak sempit dan berbukit bukau. Bersiap sedia untuk mendengar bunyi hon kereta. Mereka di sana gemar membunyikan hon. Jika di Malaysia mungkin mengundang kemarahan. Tapi tidak di sana.

Sekian untuk hari kedua.

Tuesday, April 1, 2014

Hari pertama di Bali

Assalamualaikum.

Entri ni sambungan kepada entri lepas. Boleh baca di sini.

Jadual Perjalanan Hari Pertama
26/2 Pickup at the Airport & Check in Hotel
- Factory outlet for beach wear shopping
- Jimbaran Beach (sunset)
- Dinner Ayam Penyet & Pecel Lele

Kami lewat tiba beberapa jam, tersasar dari perancangan awal. Yang penting selamat tiba. :-)
Semua teruja menjejakkan kaki di Bali, walaupun badan sudah terasa penat dek kerana masa menunggu yang terlalu lama.


Oh ya, jika menaiki penerbangan Malindo Air sila bawa earphone sendiri ya. Jika tidak, ianya harus disewa kalau tak salah.


Jangan terkejut di luar terminal ada Bangi Kopitiam yang besar! Kelihatan seperti di Malaysia.


Makan tengahari di Restoran Nasi Padang dalam perjalanan ke hotel di Seminyak. Agak lewat makan tengahari lebih kurang pukul 2.30 petang. Semua nampak sedap.

Selepas kekenyangan, kami menuju ke hotel untuk check-in dan freshen up. Sejam kemudian keluar menuju ke Factory Outlet berdekatan mencari selipar untuk ke pantai.

Jimbaran Beach

Seterusnya ke Jimbaran Beach. Subhanallah! Cantik betul. Seluas pemandangan. Puas duduk di situ sambil menunggu matahari terbenam. Di sini terkenal dengan makanan laut yang harga nya sangat mahal. Hati-hati jangan sampai kena cekik darah. Kami berjaya mengelak dari terjerat!


Makan Malam

Suami saya yang bijak pandai, telah meminta Pak Supir bawa kami makan malam ditempat yang halal, berpatutan dan sedap. Nah, dibawanya kami ke restoran kenalan baik nya. Restoran di tepi jalan, agak kecil tapi bersih. Kami singgah makan Nasi Ayam Penyet, nasi Pece Lele permintaan si Idrees dan minimum signature Indonesia "Teh Botol".


Selesai makan malam, kami balik ke hotel. Cukup lah buat hari pertama, kami perlu 'recharge' untuk permulaan yang lebih menarik untuk hari kedua dan seterusnya.