Thursday, September 4, 2014

Pengenalan Supermakwannabe

Assalamualaikum...

Saya Roshaliza, berumur 35 tahun dan merupakan seorang graduan lulusan sarjana dalam bidang IT. Saya cuba untuk suka memasak walaupun pada hakikatnya saya hanya lebih suka kumpul resepi dan membelek gambar masakan yang belum pasti bila saya akan mencubanya! Saya mempunyai 2 orang anak lelaki yang petah bercakap dan sentiasa bertenaga tidak kira siang atau malam. Mereka lah punca saya tersenyum gembira tetapi adakala nya mereka juga punca saya tarik muka masam mencuka. Si abang bernama Adam (8 tahun) dan Idrees (6 tahun) lebih manja dengan panggilan Adik.

Semenjak saya menjadi surirumahtangga sepenuh masa kira-kira setahun yang lalu (setelah bermasalah dengan 10 orang pembantu rumah Indonesia, ya 10 orang!), saya berangan untuk menjadi seorang ‘supermak’. Pada saya, ‘supermak’ itu adalah menjadi ibu yang bisa melakukan segala kerja rumahtangga dengan menggunakan tenaga empat kerat ini tanpa bantuan seorang pembantu rumah (bibik) atau ahli keluarga yang lain. Setuju? Lebih dari itu, seperti karakter adiwira yang lain, ‘supermak’ mempunyai kuasa yang dianggap ajaib. Seperti mencari barang yang hilang, membaca riak muka, merungkaikan pergaduhan, mengetahui apa yang ada di dalam fikiran, dan bermacam-macam perkara lain yang sehingga sekarang kekal misteri!

Sebetulnya, saya hanya berangan sahaja menjadi seorang ‘supermak’, kerana setiap kali juga saya tidak mampu melakukan semuanya sendirian. Maka lebih tepat jika saya labelkan diri sendiri sebagai ‘Supermakwannabe’!

Seorang ibu yang nampak zahirnya seperti perempuan biasa tetapi sebenarnya adalah seorang ‘supermak’ yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kuasa ajaib sama seperti saya malah ada yang lebih hebat lagi! Saya percaya, ramai ibu-ibu di luar sana mempunyai angan-angan yang lebih kurang sama dengan saya. Jika Ya, kita pasti boleh menjadi sahabat baik jika bertemu di alam nyata!

Sedar atau tidak, dalam satu hari yang sama, kita menyarung tugas yang pelbagai sebagai tukang masak, pemandu, guru, tukang cuci, jururawat, jurugambar, agen pelancongan dan bermacam profesion lain. Sebut sahaja, kita sanggup melakukannya! Penceritaan saya ini barangkali ada persamaan dengan cerita harian anda. Kelainannya bila saya mahu berkongsi cerita biasa ini dari perspektif profesion dengan perincian lanjut yang segar supaya lebih ramai dapat memahami dan menghargai perjuangan ‘supermak’ seperti kita. Segala yang kita lakukan adalah simbolik hadiah kasih sayang yang terbesar buat keluarga kecil kita.

Doa buat semua ‘supermak’:

“Ya Allah, lembutkan lah hati kami supaya dapat menerima dan merasai segala yang dilakukan ini adalah semata-mata untuk menyembah dan beribadat kepada Mu Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim”

Amin.


p/s: amacam boleh jadi penulis tak??

2 comments:

  1. Eh, sebaya lah kita :)
    Saya pun tak mampu nak jadi supermak...
    Kena bahagi tugas dgn the other half,,,
    Dah ada bakat ni nak jadi penulis....

    ReplyDelete
  2. Boleh sangat dah ni. Sepupuku, cuba hanta PA&Ma atau mana-mana majalah yg dirasakan sesuai. Cubalah.

    ReplyDelete

Tell me what you think