Wednesday, April 2, 2014

Hari kedua di Bali: Kintamani Tour

Assalamualaikum.

Sambung cerita hari kedua di Bali. Kalau rajin nak baca entri yang terdahulu di sini dan sini ya.

Jadual Perjalanan Hari Kedua
27/2 Kintamani Tour (bermula 8.30pagi)
- Barong Dance
- Celuk (Gold & Silver)
- Painting
- Ubud
- Tegalalang (Padi Bukit)
- Volcano (Lunch time)
- Coffee Plantation
- Tampak Siring (Hollywater) -- tak pergi

Semasa kami bersarapan, Pak Ade sudah siap menunggu. Mesti isi perut dulu kerana aktiviti seterusnya memakan masa sehingga ke lewat petang.


Barong Dance
Tempat pertama yang dikunjungi adalah persembahan Tarian Barong. Dijadualkan selama satu jam. Tempat terbuka dan agak panas tambahan pula jika ramai penonton. Jika ada kipas kecil sangat membantu. Jangan lupa bawa air minuman, dan juga tisu/tuala untuk mengelap peluh. Menonton persembahan ini adalah berbayar. Saya tak ingat berapa harga, yang pasti tidak murah!

Ada lima babak kesemuanya. Tarian Barong ini menceritakan pertarungan yang tiada penghujung antara semangat baik dan jahat. Barong adalah semangat/kuasa baik manakala Rangda mewakili yang jahat.


Batik & Celuk
Perhentian seterusnya adalah kedai batik. Binaannya sungguh indah dengan sarat ciri-ciri "hindu". Banyak patung-patung, ukiran sarat di mana sahaja di kawasan kedai. Kami tak beli apa-apa pun. Bergambar sahaja. Mulanya teringin membeli pakaian batik sedondon untuk dipakai esok hari. Tapi tiada yang berkenan, ada yang berkenan pula size tidak ada. Saya suka pakaian sedondon sefamili. Bila diambil gambar sedap mata memandang. :-) Tak mengapalah, sudah tiada rezeki.


Kami singgah ke tempat pembuatan perak. Banyak hasil kerjatangan daripada perak dan emas yang halus dan cantik. Rambang mata. Saya cuma membeli sepasang anting-anting. Lega rasanya dapat mengawal nafsu daripada memborong pelbagai barang. Saya penggemar gelang tangan. Harga silver bracelet yang saya suka lebih kurang 4-500 RM.

Oh ya, di sini banyak mengamalkan 'tipping'. Pemberian tip. Jadi jangan lupa sediakan duit kecil untuk mereka. Yang berbaju hijau tu menjadi 'escort' kami semasa di kedai tersebut. Dia beragama Hindu, dapat dilihat dari tanda didahi daripada beras. Mirip melayu bukan? Jadi jangan hairan jika di Bali terlihat pemuda semacam kita tetapi meminta pesan babi guling atau anak gadis comel membawa anjing bersiar-siar.

Mengikut pemerhatian kami, jika diberi tip pembantu jualan yang mengikut tadi akan menunjukkan sikap 'appreciative'. Mereka akan mengiring hingga ke kereta, buka dan tutup pintu untuk kita. Mereka juga sangat mesra dan mengucapkan kata selamat yang baik-baik sebelum beransur pergi.


Painting / Ubud/ Tegalalang

Memang ramai pelukis di sana. Galeri lukisan berderet-deret. Ada juga yang dijual ditepi jalan sahaja. Pak Ade membawa kami ke satu galeri lukisan. Di situ, kami terserempak beberapa kumpulan pelancong Malaysia yang lain. Harga boleh dirunding/tawar. Tapi jangan terkejut jika diminta 'tip' sebelum rundingan akhir untuk tetapkan harga.


Sepatutnya kami mengambil gambar kenangan dengan 3 lukisan yang dibeli. Langsung terlupa! Sampai sekarang dibalut baik belum dibuat apa-apa lagi. Entah bila baru nak dihantar ke kedai untuk dibuat bingkai.

Hujan lebat semasa melalui Ubud dan ketika tiba di Tegalalang. Kami tunggu sehingga agak reda baru keluar. Itu pun anak-anak tinggal sahaja di dalam van. Hujan masih rintik-rintik. Hijau pemandangan tanaman padi bukit di situ. Segar sekali. Tak terkira berapa kali sebut perkataan "cantik" di mulut. Ciptaan Allah itu memang indah.


Volcano
Seterusnya ke kawasan tinggi untuk melihat gunung berapi. Kami berhenti makan dulu di sebuah restoran. Cantik laluan masuk di restoran ini. Ada musolla di bahagian hadapan.


Dengan cuacu hujan, memang sedikit sejuk. Hati-hati bila berhenti di sini untuk mengambil gambar. Ramai peniaga kecil akan datang serbu untuk menjual pelbagai barang. Ada juga yang akan lebih agresif jika kita tidak mengendahkan mereka. Kasihan, hidup begitu susah agaknya dan terpaksa berlumba dengan ramai peniaga yang lain. Tak berani saya mahu membeli daripada mereka. Kerana, jika dibeli dari seorang yang lain akan berlumba datang mengerumuni kita.


Coffee Plantation
Nak pergi tengok pembuatan kopi dan teh. Yang terkenal tu kopi tupai. Ada satu teh manggis ni sedap sangat, warna ungu. Pak Ade beritahu khasiat teh ini dapat membantu kuruskan badan. Apa lagi, beli lah sebungkus nak cuba.


Perjalanan dari kawasan ubud, volcano dan coffee plantation balik ke kawasan hotel di Seminyak agak jauh. Adalah dalam 30-40km. Ubud terkenal kawasan kampung cantik dengan tanaman padi. Jalanraya tidak seperti kawasan pekan, agak sempit dan berbukit bukau. Bersiap sedia untuk mendengar bunyi hon kereta. Mereka di sana gemar membunyikan hon. Jika di Malaysia mungkin mengundang kemarahan. Tapi tidak di sana.

Sekian untuk hari kedua.

No comments:

Post a Comment

Tell me what you think